Monday, March 16, 2015

Renew Pasport Antarabangsa Part 2

Pasport antarabangsa aku dah expired so kena renew. Elok renew segera sebab manalah tau nanti tiba-tiba kompeni aku nak hantar aku pergi keluar negara. Perkara 'tiba-tiba' ni pernah berlaku sebelum ni. So eloklah aku bersedia lebih awal.

Ni kali kedua aku renew buku pasport antarabangsa (buku merah). Sebelum ni pernah renew sekali masa aku nak pergi Singapura di atas urusan rasmi (dan bidan terjun) pejabat.

Kalau nak renew buku pasport kena pergi ke mana-mana cawangan Jabatan Imigresen Malaysia. Jabatan imigresen yang paling dekat dengan rumah aku ialah di UTC Sentul. Sekarang ni selalu keluar iklan lagu UTC ('Urban Transformation Centre' atau Pusat Transformasi Bandar). UTC Sentul ni terletak di Bandar Baru Sentul. Jabatan Imigresen terletak di tingkat 1.


Ada kiosk. Tapi tak ada orang di situ.


Inilah dia pejabat imigresen di UTC Sentul. Terletak di Tingkat 1. Ada orang di luar pejabat sebab dalam pejabat tu dah penuh sangat. Tempat duduk sudah 'full'. Ramai orang berdiri. Meja yang sebelah kanan tu bukan pejabat imigresen. Tu orang orang jual buku-buku agama.


Keadaan dalam Jabatan Imigresen Sentul.


Gerai makan di Tingkat 1 iaitu tingkat yang sama dengan Jabatan Imigresen dan Balai Polis. Sambil-sambil menunggu giliran tu bolehlah duduk makan-makan dulu.

Jabatan Imigresen di UTC Sentul ni buka dari pukul 8.30 pagi sampai 10.00 malam setiap hari kecuali pada masa cuti am. Aku pergi hari Ahad. Memang sesak penuh orang.

Teringat lagi Tan Sri S.M Salim, 'dulu lain, sekarang dah lainn..'. Memang masa berubah dan peraturan buat buku pasport pun dah berubah dah. Last aku datang dulu peraturan dia lain, sekarang dah lain pulak. Oklah aku ringkaskan peraturan renew buku pasport antarabangsa sekarang:

Peraturan perbaharui buku pasport antarabangsa

  1. Sekarang renew untuk lima tahun sahaja. Renew untuk dua tahun yang ada sebelum ni sudah dimansuhkan.

  2. Bayaran untuk renew sudah turun. Dulu RM300 untuk lima tahun. Sekarang dah jadi RM200 sahaja. Ini untuk yang berumur 13 tahun hingga 59 tahun. Gratis (percuma) jika warga emas (60 tahun ke atas). RM100 sahaja untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun, untuk orang yang nak pergi haji, dan untuk pelajar yang nak belajar di luar negara.

  3. Hanya perlu bawa buku pasport lama, dan kad pengenalan (dan of course, duit RM200).

  4. Tak perlu isi borang apa pun.

  5. Tak perlu bawa gambar macam dulu. Gambar akan diambil dengan alat kamera khas di tempat duduk di kaunter. Jurugambar ialah pegawai imigresen di kaunter tu. Mereka adjust dan ambil gambar guna komputer mereka.

  6. Gambar untuk pasport tu masih hitam putih.

Aku sampai ke situ sebelum pukul 8.00 lagi. Aku ingat aku yang paling awal. Rupa-rupanya sudah ramai orang tunggu di luar pintu pejabat imigresen. Panjang orang beratur. Memang sungguh panjang. Aku pun mencari kat mana bahagian hujung line orang beratur tu. Jumpa juga akhinya. Tak sangka pulak macam ni. Dulu last aku datang sini memang lengang je pejabat imigresen ni. Tapi time tu masa jabatan imigresen ni baru dibuka. Sekarang agaknya sebab orang ramai dah tahu ada cawangan jabatan imigresen di sini so nampaknya keadaan di sini sama sesak, padat dan mampat macam pejabat imigressen di Wangsa Maju (di Taman Sri Rampai)

Masa tengah berarur dan menunggu barisan nak bergerak tu, ada seorang pakcik Rela dengan uniform hijaunya round di sepanjang barisan dan beritahu info itu dan ini berkaitan dengan peraturan masa masuk dalam pejabat nanti.

Pejabat dibuka pukul 8.30 pagi. Barisan tadi mula bergerak perlahan-lahan. Akhirnya pada pukul 8.48 pagi barulah aku sampai ke dalam pejabat imigresen tu. Dari pintu kaca pejabat tu nak begerak ke kaunter ambil nombor pulak memakan masa selama 5 minit. Aku ambil nombor aku (1093) dan terus cari tempat duduk.

Nombor aku dipanggil pada pukul 11.12 pagi selepas jenuh aku mengelamun, tidur-tidur ayam dan layan semua mesej dalam handphone aku. Kiralah sendiri berapa lama tu, dari pukul 8.30 pagi hingga 11.12 pagi.

Aku pergi ke kaunter no. 1. Pegawai imigresen tu bernama Wan Syamila. Aku bagi buku pasport lama dan kad pengenalan. Lepas tu dia kata kena ambil gambar. Dia suruh pandang ke kanan. Di situ rupanya ada alat kamera yang dikawal dari komputer. Aku kena buka cermin mata. Pegawai tu suruh. Aku tengok di kaunter lain, orang yang pakai songkok diminta buka songkok. Orang perempuan bertudung pula diminta pakai tudung warna hitam. Tudung warna hitam depa ada standby. Aku pandang keliling nak tengok ada tak oang singh. Tak ada pulak. Aku nak tengok orang singh ni kena buka turban depa tak?

Lepas selesai urusan di kaunter, aku diminta untuk tunggu lagi sampai nombor aku dipanggil sekali lagi. Kali ni untuk buat pembayaran pula. Akhirnya nombor aku dipanggil ke kaunter 8 untuk buat pembayaran. Aku berpisah dengan RM200 aku untuk bayaran pasport baru untuk tempoh lima tahun. Aku selesai urusan di kaunter No 8 tu pada pukul 11.33 pagi. Sekarang menunggu untuk dipanggil sekali lagi untuk ambil buku pasport.

Aku tanya 'sejam saja kan?' kat kakak di kaunter pembayaran tu. Dia angguk kepala sambil senyum. So aku pun pi keluar makan roti canai dan teh tarik di gerai berhampiran.

Aku masuk balik ke pejabat imigresen tu pukul 12.40. Aku tengok ada satu family India sedang kerumun pakcik Rela yang duduk di meja dekat dengan pintu masuk. Panjang jugak depa bersoal-jawab dan aku tengok jenuh jugak pakcik Rela tu menjawab soalan-soalan. Rupa-rupanya NOMBOR HABIS pada pukul 12.30 tadi.

Aku dengar pakcik Rela tu kata, hari Sabtu dengan Ahad memang nombor cepat habis. Kadang-kadang baru pukul 10 pagi pun nombor dah habis. So walaupun Jabatan Imigresen tu buka sampai pukul 10 malam, tapi bila nombor dah habis, orang kena balik sajalah.

Aku tengok di papan elektronik tu nombor 1097 dah dipanggil ke kaunter 11 (tempat ambil buku pasport yang dah siap). Ah, sudah. Aku dah tertinggal bas rupanya. Aku terus pi ke kaunter no 11 tu dan tanya kat brader situ, 'no 1093 dah dipanggil ke?' Brader tu check dalam kotak kat sebelah dia tu, memang ada. Sah aku tertinggal bas. Dia habiskan urusan dia dengan pelanggan yang tengah duduk depan dia tu lepas tu dia persilakan aku duduk. Aku bagi kad pengenalan dan dia suruh aku sign satu borang, check cap jari aku sekali lagi, dan bagi buku pasport baru aku. Selesai.

Tidak ada apa-apa beza buku pasport lama dengan yang aku baru dapat ni. Masih warna merah. Masih 50 muka. Masih ada cip. Masih ada ayat yang menerangkan buku pasport ini laku disemua negara kecuali Israel.

Secara keseluruhannya tiada apa-apa musibah menimpa aku dari awal hingga akhir proses renew buku pasport aku ni. Nampaknya sistem jadi lebih mudah dan cepat. Pegawai-pegawai imigresen di UTC Sentul ni semuanya aku tengok peramah dan melayan pelanggan dengan baik dan mesra. Syabas pada mereka semua.

No comments:

Post a Comment